Wednesday, September 1, 2010

Hadis Fadhilat Ramadhan Yang Lemah

Bismillahirrahmanirrahim

Terdapat sebuah hadis lemah yang sangat digunakan oleh para penceramah ketika menerangkan kelebihan Bulan Ramadhan. Hadis ini disyarahkan dengan panjang lebar, dibongkarkan pelbagai rahsia yang tersembunyi, dan pastinya dihafal oleh sejumlah manusia. Hadis ini berbunyi:
شهر رمضان أوله رحمه و أوسطه مغفرة و آخره عتق من النار
 Bulan Ramadhan itu, awalnya dipenuhi rahmat, pertengahannya dipenuhi maghfirah, dan penghujungnya diberi pembebasan dari api neraka.
Hadis ini adalah sepotong dari hadis panjang riwayat Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi dan At-Tabrani.
 
Popular bukan hadis ini? Saya sendiri, ketika diminta memberi tazkirah Ramadhan secara mengejut telah mengeluarkan hadis ini sebagai inti kelebihan Ramadhan. Tetapi apabila pulang ke rumah, saya telah membuat balik kajian terhadap hadis ini dan ternyata ia lemah dari segi sanad dan matan.

Dari segi matan 
a) Hadis ini diriwayatkan oleh Said bin Musaib dari Salman Al-Farisi. Walaupun Said dikatakan sebagai imam terhebat para tabi'in, tetapi beliau tidak meriwatkan sebarang hadis dari Salman Al-Farisi. Ini bererti telah berlaku:
1) Samada sanadnya terputus, atau
2) Memang tiada periwayatan berlaku

b) Selain itu, hadis ini juga diriwayatkan melalui Ali bin Zaid bin Jadaan dan beliau telah dilemahkan oleh Ibnu Hajar, Imam Ahmad, Yahya bin Mu'in, Ibnu Khuzaimah sendiri dan Al-Juzjani

c) Walaupun Ibnu Khuzaimah sendiri yang meriwayatkkannya, tetapi beliau juga yang melemahkan sanadnya. Sebagai Imam yang adil, sekiranya anda baca Sahih Ibnu Khuzaimah pada hadis tersebut, Ibnu Khuzaimah sendiri mengatakan, - sekiranya benar -. Bererti beliau sendiri meragui kebenarannya.

Dari segi matan pula, ramai ulamak hadis seperti  Abu Hatim ar-Razi, Al-'Aini dan Al-Albani yang menghukumkannya sebagai munkar kerana berlawanan makna dengan hadis sahih yang lain seperti yang  diriwayat Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a, Rasullullah saw telah bersabda:
إذا كان أول ليلة من رمضان صفدت الشياطين ومردة الجن ، وغلقت أبواب النار ، فلم يفتح منها باب ، وفتحت أبواب الجنة فلم يغلق منها باب ، وينادي مناد كل ليلة يا باغي الخير أقبل ، ويا باغي الشر أقصر ، ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة
Apabila tiba malam pertama di Bulan Ramadhan, maka akan diikatlah sekalian syaitan, ditutup pintu-pintu neraka tanpa dibukakan satupun, dan dibuka pintu-pintu syurga tanpa ditutup satupun, dan akan ada penyeru yang menyeru pada setiap malam: "Wahai orang yang inginkan kebaikan, marilah, dan wahai orang yang ingin melakukan keburukan, pergilah", dan bagi Allah akan ada golongan yang dimerdekakan dari api neraka, dan itu berlaku pada setiap malam.

Perkara kontra yang berlaku pada hadis pertama ialah rahmat, maghfirah dan perlepasan dari api neraka yang sebenarnya telah Allah luaskan ke seluruh Bulan Ramadhan telah disempitkan dan dibahagi kepada beberapa bahagian tertentu.

Wallahu aalam

ps: berhati-hatilah ketika memilih hadis atau ayat untuk berhujjah dan berceramah. Semoga Allah mengampuni dosa kita terutama saya yang telah lalu akibat kekurangan ilmu sendiri.

No comments:

Post a Comment